COVID-19: Bekas pesakit yang diuji kembali positif tidak berbahaya

Astro Awani
Jun 12, 2020 19:14 MYT
Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan pesakit yang telah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan yang positif.
Keputusan ujian yang positif bagi pesakit COVID-19 yang telah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus yang telah mati.
Itu kesimpulan yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan KKM, ujian rt-PCR COVID-19 bagi kebanyakan pesakit yang telah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan yang positif dalam jangka masa yang panjang, meskipun selepas mereka disahkan telah sembuh.
"Ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus. Walaupun mereka masih dikesan positif, namun mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat.
"Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus COVID-19 itu gagal dibiakkan," katanya dalam sidang media harian di sini pada Jumaat.
Katanya, penemuan serupa juga telah dilaporkan di beberapa negara termasuk Korea Selatan, China, Singapura dan Jerman.
"Kajian di China menunjukkan bahawa kebolehjangkitan berlaku dua atau tiga hari sebelum gejala bermula dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit bergejala.
"Bagaimanapun, kebolehjangkitan itu menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari.
"Sebuah kajian lagi di Taiwan mendapati bahawa selepas lima hari pesakit dijangkiti COVID-19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit ini," kata beliau.
Katanya, penemuan kajian di Korea Selatan pula menunjukkan, walaupun 25.9 sehingga 48.9 peratus bekas pesakit COVID-19 didapati kembali positif selepas discaj, ujian mendapati kontak rapat mereka tidak dijangkiti.
"Ini bermakna sememangnya sudah tiada kebolehjangkitan COVID-19 di kalangan bekas pesakit COVID-19 tersebut. Pemantauan ini adalah bertepatan dengan hasil siasatan yang mendapati bahawa tempoh berjangkit atau infectious period bermula dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula, dan adalah di kemuncak satu hari sebelum gejala," katanya.
Beliau berkata, ini selaras dengan kenyataan dikeluarkan oleh WHO dalam “Clinical Management of COVID-19, Interim Guidance, May 2020”, bahawa kebanyakan pesakit COVID-19 hanya boleh menyebarkan penyakit ini dalam masa 10 hari daripada permulaan penyakit.
Sehubungan itu, katanya KKM telah mengemas kini garis panduan discaj pesakit COVID-19 iaitu pesakit boleh didiscaj dari wad penyakit berjangkit apabila memenuhi kriteria.
"Pertama, bagi pesakit bergejala, sekurang-kurangnya tiga hari atau 72 jam pulih daripada
demam tanpa menggunakan ubat demam; gejala pernafasan misalnya batuk dan sesak nafas telah
bertambah baik dan sekurang-kurangnya 14 hari telah berlalu sejak gejala bermula.
"Kedua, bagi pesakit tidak bergejala, 14 hari telah berlalu sejak tarikh ujian diagnostik COVID-19 didapati positif, dengan anggapan mereka tidak mengalami sebarang gejala selepas ujian positif mereka.
"Ujian pengesanan COVID-19 tidak diperlukan sebelum pesakit didiscaj dari wad penyakit berjangkit. Sekiranya pesakit masih memerlukan rawatan perubatan selain rawatan COVID-19, mereka
boleh dipindahkan ke wad lain," katanya lagi.
#China #DNA #Dr Noor Hisham Abdullah #Jerman #keluarga #Kementerian Kesihatan #kesihatan #KKM #Korea #Korea Selatan #Korea Utara #koronavirus #Malaysia #mati #Media #Noor Hisham Abdullah #perubatan #siasatan #Singapura #Taiwan #virus #WHO
;