COVID-19: Bekalan stok vaksin sedia ada mencukupi
Bernama
Disember 18, 2023 19:49 MYT
Disember 18, 2023 19:49 MYT
PUTRAJAYA: Bekalan vaksin COVID-19 sedia ada masih mencukupi untuk masyarakat awam yang ingin mengambil dos penggalak terutama golongan berisiko tinggi dan komorbid, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Beliau berkata pengambilan dos penggalak adalah mudah dengan hanya 'walk-in' atau melakukan janji temu di klinik kesihatan dan hospital.
"Stok vaksin kita mencukupi untuk (dos) penggalak dan sesiapa lagi yang hendak mengambil vaksin. Kita ada stoknya terutama mereka yang mempunyai risiko dan kormobid," katanya dalam sidang media khas berhubung status terkini COVID-19, di sini hari ini.
Sidang media itu juga disertai Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli.
Ditanya bekalan Pfizer generasi baharu, Dr Muhammad Radzi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih dalam proses perolehan dengan pengeluar.
"Kita masih dalam pemerolehan sebab benda ini baharu, versi baharu monovalen. Proses akan ambil masa, dari segi bekalan agak susah sekarang," katanya.
Walau bagaimanapun, Dr Muhammad Radzi berkata vaksin sedia ada masih berkesan dan mampu melindungi masyarakat dari varian dan subvarian sedia ada.
Beliau berkata KKM menjangkakan kes COVID-19 terus meningkat pada minggu akan datang memandangkan ia merupakan fenomena global yang turut menyaksikan peningkatan mendadak.
Katanya situasi itu masih terkawal dengan pemantauan ketat dan sebarang lonjakan kes akan berakhir dalam masa empat hingga enam minggu berdasarkan pengalaman dahulu.
Mengenai langkah diambil KKM di pintu masuk negara, Dr Muhammad Radzi berkata masyarakat tidak perlu gusar tentang kemasukan pelancongan asing terutama warga China memandangkan pemantauan tidak mengesan sebarang varian baharu.
Sementara itu, Dr Norhayati berkata KKM melaksanakan survelan persekitaran COVID-19 menggunakan air kumbahan pesawat sejak Jun 2022 sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara.
Selain itu, beliau berkata pengesan suhu turut ditempatkan di pintu masuk negara sebagai persediaan awal mengesan individu bergejala dan diasingkan untuk tindakan seterusnya.
-- BERNAMA
#vaksin COVID-19
#golongan berisiko tinggi
#Ketua Pengarah Kesihatan
#Dr Muhammad Radzi
#komorbid
#orang awam