COVID-19: Banduan, petugas Penjara Jawi disaring berperingkat
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 14, 2020 13:34 MYT
Oktober 14, 2020 13:34 MYT
NIBONG TEBAL: Semua banduan di Penjara Seberang Perai di Jawi, Pulau Pinang, akan menjalani ujian saringan secara berperingkat selepas tiga banduan di premis itu disahkan positif COVID-19 pada Selasa.
Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, ketika ini pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil kira-kira 200 sampel untuk menjalankan ujian saringan COVID-19.
Katanya, ujian saringan dijalankan sebagai langkah keselamatan awal bagi mencegah penularan virus COVID-19 dalam kalangan para banduan.
Tambahnya, kakitangan penjara yang mempunyai kontak rapat dengan tiga banduan itu juga telah disaring serta dikuarantin.
Menurut Roslan, tiga lelaki itu baru dua minggu dimasukkan ke penjara tersebut bagi menjalani hukuman.
Mereka telah diasingkan sejak dimasukkan dan tidak bercampur dengan banduan lama.
"Kita telah asingkan tiga lelaki itu. Dan 15 banduan yang berada di dalam sel yang sama dengan mereka juga telah diasingkan dari banduan lain.
"Blok transit itu telah lama kosong, dan banduan yang didapati positif COVID-19 kita tempatkan di situ bagi menjalani rawatan.
"Setakat ini, keadaan mereka stabil dan keadaan di dalam penjara juga terkawal," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, setakat ini tiada banduan dari Penjara Jawi yang dihantar ke kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan semua mereka masih di penjara itu.
Difahamkan, Penjara Seberang Perai menempatkan lebih 2,000 banduan, melibatkan kira-kira 300 anggota Jabatan Penjara Malaysia yang bertugas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah pada Selasa memaklumkan, terdapat satu kluster baru iaitu Kluster Penjara Jawi selepas tiga banduan di situ disahkan positif COVID-19.
Sejak 5 Oktober, Kluster Penjara Reman Pulau Pinang merekodkan 160 kes positif dari kalangan banduan dengan seorang daripadanya telah meninggal dunia.
#KKM
#ujian saringan
#COVID-19
#penjara
#JAWI
#pulau pinang
#sampel
#banduan
#Penjara Seberang Perai
#Kluster Jawi
#kontak rapat
#Roslan Mohamed
#Kluster Penjara Reman
#meninggal dunia
#Penjara Jawi
#pengasingan