COVID-19: Banduan Penjara Labuan mula terima suntikan vaksin
Bernama
Julai 19, 2021 16:19 MYT
Julai 19, 2021 16:19 MYT
LABUAN: Seramai 180 banduan di Penjara Labuan mula mendapatkan suntikan vaksin dos pertama semalam, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.
"Langkah pemberian vaksin ini sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan, petugas dan tahanan," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kluster Tembok Labuan membabitkan petugas penjara dan banduan merekodkan sebanyak 194 kes sehingga hari ini.
"Masih ada sebilangan kecil banduan yang belum mendapatkan suntikan hari ini kerana menunjukkan gejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan," katanya.
Dr Ismuni berkata kesemua banduan berpeluang untuk menerima suntikan vaksin kerana vaksin sudah disediakan buat mereka yang mahu mendapatkannya.
Pengarah Pusat Koreksional Labuan Abd Rauf Lang Pasih berkata langkah pemberian vaksin berjalan lancar membabitkan 90 peratus daripada jumlah 200 orang yang dipenjarakan.
"Mereka yang belum mendapatkan suntikan hari ini, akan disuntik pada tarikh lain," katanya.
Abd Rauf berkata kesemua 119 petugas telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin dan usaha sedang dilakukan agar ahli keluarga petugas yang belum divaksinasi mendapat suntikan segera.
Proses pemberian vaksin di penjara agak perlahan susulan tercetusnya kluster Tembok Labuan, yang baharu sahaja tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini.
Labuan mencapai kejayaan dalam pengedaran dan pengurusan vaksin COVID-19 melebihi 90 peratus yang diberikan kepada penduduk tempatan dan pekerja sektor minyak dan gas serta kru perkapalan.
Sehingga hari ini, Labuan telah mencapai kejayaan dalam pengedaran dan pengurusan vaksin COVID-19, melebihi 90 peratus yang diberikan kepada penduduk tempatan, pekerja sektor minyak dan gas serta petugas sektor perkapalan.
-- BERNAMA
#COVID-19
#penjara labuan
#banduan
#suntikan vaksin
#Kluster Penjara
#Kluster Tembok Labuan
#Dr Ismuni Bohari
#Labuan
#Sabah