COVID-19: ATM sedia gerak aset, bina hospital medan di negeri penularan tinggi - Hishammuddin

Fareez Azman
September 2, 2021 16:19 MYT
Hishamuddin berkata, bantuan itu melibatkan Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengerakkan aset, kepakaran serta kepimpinan ke lima negeri yang mencatatkan penularan COVID-19 yang tinggi dalam masa terdekat.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, ia melibatkan Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.
"Usaha mengurus dan meredakan (penularan COVID-19) di lima negeri ini sudah tentu menjadi keutamaan ATM. Antara perkara penting ATM adalah memenuhi agenda nasional terutama memerangi COVID-19.
"ATM sememangnya mempunyai infrastruktur, aset dan kepakaran mencukupi dan sedia diatur gerak pada bila-bila masa. Sehubungan itu, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera bersedia membina hospital medan di tempat dikenal pasti KKM," katanya dalam sidang media pada Khamis.
Tambah Hishamuddin, ia sekali gus dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini terutama dalam memberikan rawatan kepada pesakit COVID-19 tahap tiga hingga lima.
#ATM #COVID-19 #aset #Hishammuddin Hussein
;