COVID-19: Apa pengumuman PM Isnin ini?

Hilmi Malik
Januari 8, 2021 17:50 MYT
ISMAIL: Kerajaan menerusi sidang khas MKN sedang memperhalusi tindakan yang perlu diambil termasuk mempertimbangkan SOP yang lebih ketat dilaksanakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mengumumkan sesuatu pada Isnin depan berhubung situasi semasa keadaan COVID-19 di negara.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan kerajaan mengikuti rapat berhubung situasi harian COVID-19 dan akan terus mengkaji segala persiapan bagi mengawal penularan pandemik.
“Kerajaan memandang serius perkembangan terbaharu COVID-19 dan kita meneliti segala cadangan dan pandangan berhubung kebimbangan peningkatan kes harian.
“Kerajaan menerusi sidang khas MKN sedang memperhalusi tindakan yang perlu diambil termasuk mempertimbangkan SOP yang lebih ketat dilaksanakan.
“Insya-Allah satu pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri pada Isnin bagi memaklumkan tindakan yang akan dilaksanakan,” katanya ketika sidang media pada Jumaat.
Menurut Ismail Sabri, perkara itu termasuk untuk meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor sosial dan beberapa lagi yang lain berdasarkan situasi semasa COVID-19 di negara.
Sejak kebelakangan ini, angka bagi kes harian COVID-19 masih kekal berada di kedudukan empat angka dan pada Khamis, kes harian tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 3,027 kes.
#ismail sabri yaakob #PM #SOP #COVID-19 #pandemik #Muhyiddin Yassin #kerajaan
;