COVID-19: Apa nasib pekerja Malaysia terkandas di Singapura?
Razak Chik
April 2, 2020 23:07 MYT
April 2, 2020 23:07 MYT
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk minggu ketiga menyebabkan ada warga Malaysia yang terperangkap di Singapura.
Kalangan mereka terdiri dari pekerja makan gaji di sektor pembuatan, peruncitan atau buruh gudang yang hilang punca pencarian. Ada yang terperangkap dan berada di republik itu memerlukan pekerjaan.
Apabila PKP dikuat kuasa pada 18 Mac, ramai pekerja Malaysia menghadapi dilema bagaimana meneruskan proses ulang-alik setiap hari antara Johor Bahru dan Singapura untuk terus bekerja di republik itu.
Dalam kalangan majikan, ada yang segera menyediakan penempatan sementara tetapi tidak kurang juga yang gagal bertindak menjaga kebajikan. Akibatnya, ada rakyat Malaysia yang bergelandangan di republik itu kerana tidak berkemampuan mencari tempat tinggal.
Bermula malam 18 Mac, muncul berpuluh-puluh rakyat Malaysia yang berkumpul di stesen MRT bergelandangan kerana memilih untuk tidak kembali ke Johor Bahru. Mereka berkemungkinan hilang kerja jika tidak berupaya pulang bekerja ke Singapura keesokan hari akibat penguatkuasaan PKP.
Apakah nasib mereka?
Gambar berpuluh-puluh gelandangan yang bermalam di stesen MRT Kranji dan Marsiling menggerakkan beberapa pertubuhan kebajikan Singapura untuk menghulur bantuan.
Kini ramai yang ditempatkan di pusat kebajikan di Transit Point @ Margaret Drive yang diwujudkan khusus untuk memberi bumbung sementara kepada golongan gelandangan.
Transit Point tidak mengambil kira kewarganegaraan, berbanding pusat pusat khusus yang diwujudkan kerajaan Singapura untuk penempatan sementara warga Malaysia yang berkerja di Singapura secara sah yang terperangkap akibat peraturan PKP.
Segerombolan 120 sukarelawan meronda di lokasi tertentu pada malam kedua PKP dilaksanakan, untuk menjemput sesiapa sahaja yang bergelandangan di kolong pangsapuri HDB atau di stesen MRT.
Walaupun layanan bukan bertaraf lima bintang, mereka ditempatkan dalam keadaan selesa dan diberi makanan percuma.
Tanpa mengira kewarganegaraan, gelandangan itu ditawar tinggal di Transit Point untuk penempatan sementara yang dijamin bersih dan selamat.
Menurut Channel News Asia, hampir separuh dari kira kira 60 penghuni Transit Point adalah warganegara Malaysia.
Bagi warga profesional, kebajikan mereka lebih terjamin. Pekerja di bidang petroleum dan gas memberitahu media, syarikatnya memberi penginapan di hotel sepanjang peraturan PKP.
Seorang pembantu klinik dari Johor Bahru yang bertugas di sebuah klinik di Woodlands diberi elaun S$50 (RM152) sehari melalui program rangsangan ekonomi Singapura untuk terus bekerja selagi pandemik COVID-19 berterusan.