COVID-19: Anwar Ibrahim cadang strategi kurangkan penularan wabak

Khairunnisa Kasnoon
Mei 19, 2021 07:15 MYT
Anwar berkata setiap data dan maklumat yang dikumpul akan didedahkan kepada umum untuk pengetahuan rakyat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penasihat COVID-19 bagi Ketua Pembangkang akan kemuka satu strategi atau exit strategy pasca COVID-19 bagi mencari penyelesaian mengurangkan penularan wabak berkenaan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan setiap data dan maklumat yang dikumpul akan didedahkan kepada umum untuk pengetahuan rakyat.
“Pertama, menyediakan papan pemuka (dashboard) untuk mendapat dan mengumpulkan semua data dengan meminta kerjasama semua badan-badan penyelidikan, universiti, hospital untuk data.
"Tiada nama. Nama kita rahsiakan. Tapi angka dan data itu akan bantu kita untuk cari penyelesaian.
"Ini yang disebut platform data terbuka (open data platform) supaya kita tahu apa langkah yang patut diambil, katanya dalam Bicara COVID Anwar Ibrahim menerusi akaun Facebooknya.
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan
Ujar Anwar, langkah-langkah bukan perubatan (NPI) tersebut termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan beberapa langkah sekatan lain.
“Langkah ini satulah, perubatan dan kesihatan, ICU dan ubat satu lagi apa yang disebut sebagai langkah-langkah bukan perubatan ini termasuk langkah pembatasan sosial, pelitup muka dan beberapa langkah dan sekatan yang dibuat.
"Tapi kita harus ada maklumat terperinci, bukan seperti yang dilakukan sekarang," katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #ICU #pembangkang #kesihatan #rakyat #perubatan #COVID-19 #pelitup muka #strategi #Jawatankuasa Penasihat COVID-19
;