COVID-19: Anggota ATM bertugas di Sabah diarah patuhi SOP ketat
Bernama
September 24, 2020 21:25 MYT
September 24, 2020 21:25 MYT
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengarahkan anggotanya yang bertugas mengawal sempadan negara di Sabah agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata Markas Formasi yang bertugas di Sabah telah diarahkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memastikan setiap anggota yang bertugas mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dan ATM sama ada ketika bertugas atau pulang selepas menjalankan operasi.
"Contohnya jika mereka bertugas, bila balik dari lapangan ke rumah, mereka ini mandi dan tukar pakaian dulu, baru dibenarkan balik ke rumah masing-masing. Dengan cara begitu, kita dapat kawal (virus) luar dari masuk dalam rumah," katanya kepada media selepas majlis graduasi dan penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata SOP ditetapkan perlu dipatuhi dengan ketat bagi mengelak penularan dalam kalangan anggota dan pegawai yang bertugas di sana.
Menyentuh majlis hari ini, Affendi berkata sejumlah 164 peserta yang terdiri daripada 82 Pegawai Kanan Tentera Darat, 21 Pegawai Kanan Tentera Laut, 21 Pegawai KananTentera Udara serta masing-masing seorang daripada Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menyertai kursus itu.
Kursus itu, yang berlangsung selama setahun di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional di sini, turut disertai 38 pegawai tentera dari 23 negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, antaranya Indonesia, Singapura, Bangladesh, Nepal, Korea Selatan, Pakistan, Thailand, Australia dan New Zealand.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia
#kerajaan
#kes positif
#koronavirus
#Malaysia
#operasi
#polis
#SOP
#tentera