COVID-19: Anak muda hilang kerja bantu golongan tercicir di Pahang

Astro Awani
Julai 14, 2021 21:07 MYT
Inisiatif yang membabitkan kira-kira 10 sukarelawan terdiri daripada golongan yang hilang pekerjaan akibat COVID-19 dan pelajar Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyah Pulau Tawar. - Gambar Astro AWANI
JERANTUT: Tidak harapkan dana agensi atau syarikat korporat, sebaliknya, sekumpulan anak muda Kampung Pulau Tawar, di sini berusaha mengumpul dana sendiri bagi memberi bantuan kepada golongan tercicir sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Inisiatif yang membabitkan kira-kira 10 sukarelawan terdiri daripada golongan yang hilang pekerjaan akibat COVID-19 dan pelajar Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyah Pulau Tawar itu membantu masyarakat dengan wujudkan Misi Bantuan Khas Lockdown di kawasan mereka.
Ketua Projek Misi Bantuan Khas Lockdown, Muhammad Haziq Jahidin, 26, berkata, untuk kali ini, tumpuan mereka adalah di kawasan perkampungan Pulau Tawar, Kampung Perian, tiga Madrasah Pulau Tawar serta beberapa kawasan lain di daerah itu.
“Tujuan kami kali ini adalah membantu masyarakat setempat yang mana saya bersama sukarelawan yang lain anggap ia sebagai jihad kerana dapat menolong masyarakat di perkampungan ini pada musim terjejas COVID-19 ini.
"Minat sebagai sukarelawan sebati dalam jiwa saya. Apabila melihat kehidupan orang sekeliling tidak bernasib baik ia memberikan kesedaran kepada diri untuk membantu.
“Kita prihatin dengan nasib penduduk yang menghadapi kesukaran untuk ke bandar yang kini masih dikawal ketat akibat COVID-19 bagi membeli barangan keperluan makanan harian dan bulanan di musim lockdown ini," katanya kepada Astro AWANI.
Jelasnya, inisiatif tersebut tercetus melalui perbualan santai menerusi "WhatsApp Berkumpulan" untuk membantu orang ramai khususnya warga emas yang terjejas, tidak dapat bekerja serta mereka yang tidak mempunyai pencen.
Keprihatinan itu turut mendapat perhatian pihak Istana Salatin Negeri Sembilan, Tengku Tan Sri Azlan Sultan Abu Bakar.
Operasi bantuan khas dari pihak Istana Salatin Negeri Sembilan itu berlangsung selama satu hari melibatkan 10 kenderaan pacuan empat roda dan empat buah van.
#Bantuan PKP #Misi Bantuan Khas Lockdown #PKP 3 0 #MCO 3 0 #Covid-19 Malaysia #berita hari ini
;