COVID-19: Amalkan kawalan kendiri - Ahmad Zahid

Bernama
Disember 9, 2023 14:32 MYT
Ahmad Zahid berkata, walaupun statistik peningkatan jangkitan COVID-19 yang dilaporkan adalah pada tahap ringan, namun langkah pencegahan tetap perlu diberikan perhatian. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihatkan rakyat supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri sebagai langkah pencegahan COVID-19.
Menerusi catatan di Facebook hari ini, beliau berkata walaupun statistik peningkatan jangkitan COVID-19 yang dilaporkan adalah pada tahap ringan, namun langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman tetap perlu diberikan perhatian.
"Saya ingin menasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan kawalan kendiri seperti kerap mencuci tangan dan menggunakan cecair pensanitasi tangan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini kepada diri anda dan juga keluarga.
"Semoga seluruh rakyat Malaysia dilindungi daripada musibah penyakit COVID-19 ini, insya-Allah," katanya.
Pada Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak 3,626 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 Nov lepas, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #COVID-19 #kawalan kendiri #jangkitan
;