COVID-19: Al-Sultan Abdullah seru rakyat ambil dos penggalak

Ridzal Abdullah, Ridauddin Daud, Ridhuan Esa
Februari 28, 2022 12:58 MYT
Al-Sultan Abdullah bertitah, pengambilan dos penggalak itu adalah sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu seperti Omicron yang sudah mula merebak di Malaysia. - Gambar Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan imuniti terhadap COVID-19 kekal pada tahap optimum, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat Malaysia agar mendapatkan dos penggalak.
Titah Al-Sultan Abdullah, pengambilan dos penggalak itu adalah sebagai benteng dalam menghadapi varian baharu seperti Omicron yang sudah mula merebak di Malaysia.
Meskipun Malaysia dilihat semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, namun, Seri Paduka Baginda mahu peralihan itu dilaksanakan secara berhati-hati.
“Beta menyokong Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan dan tindakan afirmatif kerajaan untuk mengurangkan harga kit ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.
“Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sektor sosial boleh direalisasikan secara selamat,” titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental Tahun 2020-2025 yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutamanya yang terkesan akibat pandemik.
“Pada kesempatan ini Beta menyeru kepada rakyat Beta untuk terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat.
“Beta juga amat menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri sebagai usaha bagi meningkatkan kesediaan negara dalam mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan,” titah Al-Sultan Abdullah.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda juga menyokong aspirasi kerajaan untuk “merakyatkan sains dan menginsankan teknologi”.
“Selaras dengan aspirasi tersebut, pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu-isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Beta berharap agar kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang-bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik, biosains dan angkasa,” titah Baginda.
#Omicron #dos penggalak #Al-Sultan Abdullah #varian baharu
;