COVID-19: Airbus Malaysia sumbang kelengkapan perubatan kepada KKM

Bernama
September 23, 2021 05:02 MYT
Kelengkapan perubatan berkenaan diserahkan oleh Ketua Sumber Manusia Airbus Malaysia Anita Zaki kepada Ketua Setiausaha MoH Datuk Mohd Shafiq Abdullah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Airbus Malaysia menyumbangkan kelengkapan perubatan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai menyokong usaha negara dalam memerangi pandemik COVID-19.
Sumbangan itu terdiri daripada pelembap terapi oksigen aliran tinggi, pam picagari, pam infusi isi padu, respirator pembersih udara berkuasa (PAPR) P-SH100 dan kerusi roda.
"Sumbangan ini adalah peranan Airbus sebagai solidariti dan sokongan kepada Malaysia dalam usaha pemulihan pandemik.
"Kami bersimpati dengan mereka yang terkesan termasuk pesakit dan petugas barisan hadapan di hospital serta anggota keluarga pesakit yang masih menerima rawatan di hospital," menurut Ketua Negara Airbus Malaysia Raymond Lim dalam kenyataan hari ini.
Kelengkapan perubatan berkenaan diserahkan oleh Ketua Sumber Manusia Airbus Malaysia Anita Zaki kepada Ketua Setiausaha MoH Datuk Mohd Shafiq Abdullah di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Peralatan itu akan diagihkan kepada hospital-hospital yang telah dijadikan sebagai pusat rawatan COVID-19 di seluruh negara.
-- BERNAMA
#Aribus Malaysia #COVID-19 #KKM #kelengkapan perubatan