COVID-19: Ahli FDAM bakal dapat vaksin berkelompok - Ahmad Ibrahim
Bernama
Julai 19, 2021 09:23 MYT
Julai 19, 2021 09:23 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyasarkan 100 peratus pengarah dan penggiat seni menyertai program suntikan vaksin secara berkelompok yang akan dilaksanakan untuk ahli persatuan itu di Lembah Klang.
Presiden FDAM Ahmad Ibrahim berkata peluang itu turut terbuka kepada pasangan mereka dan anak berusia 18 tahun ke atas.
"FDAM membawa berita gembira buat ahlinya apabila berjaya mendapat ruang untuk suntikan vaksin secara berkelompok.
"FDAM menyasarkan 100 peratus pengarah dan penggiat seni yang bekerja di lapangan mengambil peluang untuk terbabit dalam program vaksin ini...hanya untuk ahli yang menetap dan mendaftar di Lembah Klang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata senarai nama mereka yang memohon suntikan itu akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan, pada 19 Julai.
Sementara itu, beliau berkata setakat ini sejumlah 1,683 kotak keperluan asas diagihkan kepada warga seni yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerusi program RESQ ANAK SENI.
Pengagihan itu, katanya, dibuat secara berperingkat dengan fasa pertama meliputi Lembah Klang iaitu zon Puchong, Keramat AU2, Setapak dan Taman Melawati serta Nilai dan Seremban (Negeri Sembilan).
"Bantuan merangkumi pengarah, penerbit, kru produksi, pelakon dan penyanyi serta golongan yang sering terpinggir seperti pelakon tambahan, penari, kru teater dan busker (penghibur jalanan) ini akan diperluas ke zon lain termasuk Sabah dan Sarawak pada fasa kedua," katanya.
Bantuan-bantuan itu adalah hasil sumbangan Yayasan Maghfirah; Yayasan FELDA; GISB Holdings Sdn Bhd; Intelek Muda Nasional dengan Kerjasama Pertubuhan Amal Global Care; Jihad Anak Seni; Laguna by Sofia dengan Kerjasama Pertubuhan Ummah Nusantara Malaysia; Koperasi An-Najah; Intelspeed Sdn Bhd; dan Bob Auto Puchong.
-- BERNAMA
#FDAM
#Ahmad Ibrahim
#Persatuan Pengarah Filem Malaysia
#penggiat seni
#program suntikan vaksin secara berkelompok
#vaksin
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan