COVID-19: ADUN Selangor terima peruntukan khas

Sinar Harian
Mac 20, 2020 12:22 MYT
Amirudin Shari (dua dari kanan) ketika mengumumkan Pakej Selangor Prihatin, hari ini. - Gambar SINAR HARIAN
Kerajaan Selangor akan memberikan peruntukan khas kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini menerusi pengumuman Pakej Selangor Prihatin, hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, anggaran peruntukan sekitar RM30,000 akan disediakan kepada 56 ADUN di negeri ini untuk sebarang perbelanjaan aktiviti mesra rakyat khusus bagi keperluan harian mereka yang terkesan.
"Peruntukan minimum untuk inisiatif ini adalah berjumlah RM1.68 juta," katanya ketika pengumuman pakej tersebut, hari ini.
Amirudin juga berkata, bagi meringankan bebanan usahawan Skim Hijrah Selangor, kerajaan negeri juga akan memberi penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman sebanyak tiga bulan ansuran kepada semua 40,000 peminjam.
Bagi pemberian itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan menanggung bebanan sebanyak RM70 juta.
"Bagi meringankan beban peserta Skim Smart Sewa pula, kerajaan negeri meluluskan penangguhan bayaran sewa sebanyak tiga bulan ansuran untuk 2,700 penyewa dengan kos sebanyak RM600,000," katanya.
BACA: COVID-19: Peruntukan RM128 juta Pakej Selangor Prihatin, tumpu petugas barisan hadapan
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga turut memberi lanjutan tempoh akhir bayaran cukai tanah/petak dari 31 Mei 2020 kepada 30 Jun 2020.
Tambah beliau, kelonggaran turut diberikan kepada semua pembayar cukai untuk melewatkan pembayaran cukai tanah/petak selama satu bulan tanpa sebarang bebanan kos kepada pihak kerajaan negeri.
#ADUN #coronavirus #COVID19 #Datuk Seri Amirudin Shari #koronavirus #menteri #Menteri Besar #Menteri Besar Selangor #peruntukan untuk ADUN #rakyat
;