COVID-19: ADUN Dengkil Adhif Syan sumbang elaun tiga bulan ke Akaun Amanah Bencana
Faris Danial Razi
Jun 4, 2021 18:44 MYT
Jun 4, 2021 18:44 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah turut tidak ketinggalan untuk menyumbang sepenuhnya elaunnya selama tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana bermula bulan Jun.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Adhif menjelaskan, langkah itu diambil atas kehendaknya sendiri tanpa arahan mana-mana pihak.
“Langkah berikut diambil atas kehendak saya sendiri selepas melihat keikhlasan serta kesungguhan usaha memerangi COVID-19 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya.
Beliau pada masa sama berharap agar ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) dari kerajaan Selangor turut ambil langkah sama sebagai tanda solidariti dalam usaha menangani COVID-19.
“Harapan saya adalah ADUN-ADUN PH dari Kerajaan Negeri Selangor (serta lain-lain negeri di seluruh negara) turut berbuat demikian bagi menunjukkan tanda solidariti terhadap usaha kerajaan melawan COVID-19.
“Saya sarankan ADUN-ADUN PH berhenti mencari kesalahan kerajaan sebaliknya mencontohi pemimpin PN dalam pengorbanan serta komitmen yang ditunjukkan dengan menyumbang elaun mereka kearah yang sama,” tambah Adhif lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memerangi COVID-19 sepatutnya merupakan satu usaha bersama.
“Jika pihak pembangkang tidak ada apa untuk disumbangkan, mereka tidak wajar mengganggu usaha cemerlang kerajaan Persekutuan,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan turut bersetuju memberi semua gaji dan elaunnya selama enam bulan kepada Pusat Khidmat DUN Rantau bagi membantu masyarakat di kawasan itu yang terkesan akibat sekatan pergerakan penuh fasa pertama.
Usaha sama turut dilakukan oleh Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) yang bersetuju menyumbang 30 peratus gaji bulanan untuk tempoh tiga bulan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara.
#Muhyiddin Yassin
#Mohamad Hasan
#Pakatan Harapan
#ADUN
#Perdana Menteri
#Parlimen
#Amanah
#pembangkang
#COVID-19
#sekatan pergerakan penuh