COVID-19: Adu ke Jabatan Tenaga Kerja jika hilang kerja

Astro Awani
Februari 20, 2020 22:29 MYT
Setakat ini satu aduan diterima membabitkan 500 pemandu bas persiaran yang tidak dibayar gaji oleh majikan. - Gambar Astro AWANI/ Shahir
Individu yang kehilangan pekerjaan akibat COVID-19 boleh tampil membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi mendapatkan bantuan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kementerian memahami masalah yang dihadapi pekerja membabitkan beberapa sektor yang terjejas teruk termasuk perkhidmatan dan pelancongan.
Jelas Mahfuz, pihaknya akan membantu semua pekerja dalam pelbagai sektor, bagi membolehkan mereka terus mencari sumber pendapatan.
"Kita bukan sahaja tumpu kepada satu-satu sektor, semua sektor kita akan berikan perhatian.
“Paling penting mereka harus membuat aduan terlebih dahulu, dan sekiranya ia membabitkan pekerjaan, aduan boleh dibuat kepada kementerian, JTK atau JPP (Jabatan Perhubungan Perusahaan).
“Sementara, jika ia berkaitan pelanggaran perjanjian dan sebagainya atau mereka akan diberhentikan akibat COVID-19 dan sebegainya, semua itu harus dibuat adun bagi membolehkan kami mengambil langkah seterusnya,” katanya pada sidang media mengenai sesi Town Hall bersama Kementerian Sumber Manusia, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut katanya, setakat ini satu aduan diterima membabitkan 500 pemandu bas persiaran yang tidak dibayar gaji oleh majikan.
Dalam pada itu ujarnya, Kementerian Sumber Manusia akan turut membuat semakan dengan majikan terbabit bagi mengetahui status sebenar pekerja tersebut, sebelum mengambil tindakan susulan.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa semua majikan agar mengutamakan pekerja tempatan bagi mengelakkan peluang pekerjaan di negara ini diambil alih pekerja asing.
Setakat ini, seramai 1.9 juta pekerja asing berdaftar di negara ini dan jumlah itu tidak melebihi 15 peratus jumlah guna tenaga negara.
#ADUN #COVID-19 #hilang kerja #Jabatan Tenaga Kerja #Kementerian Sumber Manusia #Mahfuz Omar #pelancongan #Timbalan Menteri Sumber Manusia
;