COVID-19: 865 kes baharu, 74 peratus di Sabah

Umavathi Ramayah
Oktober 19, 2020 17:38 MYT
Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 21,363 dengan 7,456 kes aktif. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Sejumlah 865 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan lebih 74 peratus daripadanya membabitkan jangkitan di Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kini mencecah 21,363 dengan 7,456 kes aktif.
Beliau berkata, daripada keseluruhan kes yang dilaporkan, 154 kes atau 17.8 peratus adalah daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Tembok dan termasuk empat kes saringan tahanan Penjara Tapah.
"Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memberitahu, daripada 865 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan tiga warganegara dan empat bukan warganegara.
"Daripada 858 kes penularan di dalam negara pula, 767 kes adalah warganegara Malaysia dan 91 kes adalah bukan warganegara.
"Lima kes penularan tempatan adalah daripada kalangan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah sebanyak 448 kes," katanya.
Beliau memberitahu, sehingga pukul 12 tengah hari ini, tiga lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah 190 kes, bersamaan 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
"Sehingga kini, terdapat 99 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 31 kes memerlukan bantuan pernafasan," ujarnya.
Sementara itu ujarnya, sebanyak 455 kes dilaporkan pulih COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada virus it adalah 13,717 kes.
Perincian mengenai penularan COVID-19 mengikut negeri adalah seperti berikut:
Sabah: 643 kes
Selangor: 101 kes
Wilayah Persekutuan Labuan: 34 kes
Pulau Pinang: 26 kes
Perak: 18 kes
Melaka: 16 kes
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Enam kes
Negeri Sembilan: Empat kes
Kedah: Tiga kes daripada kluster-kluster sedia ada.
Wilayah Persekutuan Putrajaya: Tiga kes daripada kluster-kluster sedia ada.
Johor: Dua kes
Satu kes daripada kluster sedia ada.
Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).
Pahang: Satu kes saringan individu bergejala.
Terengganu: Satu kes daripada kluster sedia ada.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
#Dr Noor Hisham Abdullah #ICU #COVID-19 #unit rawatan rapi #Ketua Pengarah Kesihatan #jangkitan di Sabah
;