COVID-19: 858 kes baharu, tiga kematian dicatat

Astro Awani
Disember 23, 2022 08:00 MYT
14,590 kes aktif direkodkan pada Khamis dan daripada jumlah itu 13,685 kes atau 93.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu COVID-19 pada Khamis terus kekal di bawah 1,000 kes untuk hari keenam berturut-turut.
Jumlah kes turun ke 858 berbanding 984 kes yang dilaporkan semalam.
Portal KKMNOW turut memaklumkan, tiga kes kematian dicatatkan pada Khamis dan tiada kematian berlaku di luar fasiliti hospital atau 'brought-in-dead' (BID).
Sementara itu, 14,590 kes aktif direkodkan pada Khamis dan daripada jumlah itu 13,685 kes atau 93.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 859 pesakit mendapat rawatan di hospital.
Seramai 46 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala 23 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Pada masa sama, negara juga mencatatkan 1,119 kes sembuh.
#COVID-19 #kes baharu #kes kematian #KKMNOW
;