COVID-19: 78.5 peratus populasi negara lengkap divaksin, 23.9 peratus terima dos penggalak

Bernama
Januari 10, 2022 10:18 MYT
Daripada jumlah keseluruhan individu lengkap divaksinasi, 22,881,770 merupakan populasi dewasa dan selebihnya 2,765,938 adalah golongan remaja. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 78.5 peratus populasi negara atau 25,647,708 individu telah menerima suntikan lengkap vaksin COVID-19 setakat semalam, manakala sehingga tempoh sama penerima dos penggalak meningkat kepada 23.9 peratus bersamaan 7,809,058 individu.
Berdasarkan data laman web COVIDNOW, daripada jumlah keseluruhan individu lengkap divaksinasi berkenaan, seramai 22,881,770 merupakan populasi dewasa dan selebihnya sebanyak 2,765,938 adalah golongan remaja.
Sasaran 80 peratus keseluruhan rakyat Malaysia lengkap divaksin adalah pada 5 Ogos ini.
Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan 110,258 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 910 dos pertama, 1,500 dos lengkap dan 107,848 dos penggalak.
-- BERNAMA
#suntikan vaksin COVID-19 #populasi dewasa #populasi remaja #dos penggalak
;