COVID-19: 75 kematian baharu direkod, 20 BID

Astro Awani
Februari 28, 2022 23:18 MYT
Sebanyak 7,881 kes COVID-19 dirawat di hospital ketika ini dengan 361 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 75 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,749 orang, daripada 3.4 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 20 daripada 75 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 293,423 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 281,714 individu atau 96 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 3,467 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 7,881 kes dirawat di hospital dan 361 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 168 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 193 lagi memerlukan mesin ventilator.
#COVID-19 #bid #Kematian baharu #ICU