COVID-19: 75 dikompaun dalam seminggu, ingkar SOP musim banjir
Muhafandi Muhamad
Januari 8, 2021 08:41 MYT
Januari 8, 2021 08:41 MYT
RANTAU PANJANG: Polis Kelantan mengeluarkan kompaun terhadap 75 individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID 19 dengan terlibat dalam aktiviti berkaitan banjir.
Mereka dikompaun sepanjang tempoh seminggu negeri ini kerana melakukan aktiviti seperti bermain air banjir dan melihat air banjir, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.
"Saya telah arahkan pasukan polis mengambil tindakan kompaun. Tak ada lagi amaran. Maknanya, kalau kereta peronda keluar, tiada lagi amaran seperti sebelum ini.
"Kita telah lengkapkan pegawai untuk ambil tindakan. Dan untuk minggu ini sahaja, 75 sudah kita keluarkan. Jadi, keseluruhannya, lebih 2,000 telah dikompaun (kerana ingkar SOP COVID-19).
"Ini menunjukkan, masih ada warga kita yang belum sedar atau sengaja buat tak sedar," katanya pada Khamis.
Menurutnya, kebanyakan individu yang dikompaun didapati tidak patuh SOP seperti berkumpul dalam jumlah yang ramai pada satu-satu masa, tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.
Shafien memberitahu, kompaun akan terus dikeluarkan kepada individu yang gagal mematuhi SOP kerana peringkat amaran dan memberi pendidikan kesedaran sudah tamat.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP dan elak dari dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
"Bayaran kompaun RM1,000 itu tinggi sebenarnya. Jadi, lebih baik duit itu disimpan, diguna sebaik mungkin, untuk kehidupan harian.
"Senang saja hendak jaga SOP, pakai topeng, duduk jarak jauh-jauh, cuci tangan. Tempat-tempat yang ramai orang, jangan pergi kalau tak perlu," tambahnya.
Terbaharu, malam Rabu lalu, tiga kompaun gagal patuh SOP dikeluarkan terhadap tiga individu yang berkumpul di Tambatan Diraja Kota Bharu untuk melihat air bah.
Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, dron akan digunakan untuk membuat pemantauan banjir.
Katanya, pemantauan udara penting untuk mengenal pasti situasi terkini keadaaan banjir di satu-satu kawasan, bagi membolehkan pasukan penyelamat bersedia dengan sebarang kemungkinan.
#polis
#Kota Bharu
#banjir
#SOP
#operasi
#pelitup muka
#kompaun
#Shafien Mamat
#bermain air
#penjarakan fizikal
#berkumpul
#ingkar SOP
#main air banjir
#melihat air banjir
#air bah
#amaran