COVID-19: 74.9 peratus populasi keseluruhan lengkap vaksinasi

Astro Awani
November 1, 2021 00:04 MYT
Kadar itu dicapai kira-kira 40 hari selepas PICK remaja bermula secara rasmi pada 19 September lalu. -Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk Malaysia yang sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 melonjak kepada 24.45 juta individu atau 74.9 peratus daripada kira-kira 32 juta penduduk negara.
Kadar itu dicapai kira-kira 40 hari selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) remaja bermula secara rasmi pada 19 September lalu.
Portal COVIDNOW menunjukkan setakat Ahad, 95.5 peratus atau 22.36 juta golongan dewasa lengkap menerima dua dos vaksin.
Manakala 97.7 peratus atau 22.87 juta sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 83 peratus atau lebih 2.61 juta menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dan 66.4 peratus atau lebih 2 juta pula sudah lengkap dua dos.
Setakat semalam, hanya sekitar 2.3 peratus daripada 23.4 juta penduduk dewasa masih belum divaksinasi, manakala kalangan remaja pula melibatkan sejumlah 17 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Ketika ini, hanya dua negeri masih mencatat jumlah penduduk dewasa lengkap divaksinasi di bawah 80 peratus, iaitu Kelantan (79.1 peratus) dan Sabah (73.2 peratus), manakala lapan negeri dan wilayah sudah merekodkan lebih 90 peratus.
#PICK #vaksin #dos lengkap #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan