COVID-19: 74.7 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi - JKJAV
Umavathi Ramayah
September 14, 2021 12:07 MYT
September 14, 2021 12:07 MYT
SEBANYAK 74.7 peratus atau 17,480,766 individu daripada populasi dewasa di seluruh negara sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 setakat Isnin.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter memaklumkan, penerima dos pertama pula adalah sebanyak 91.6 peratus atau 21,573,348 orang.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat Isnin adalah sebanyak 38,990,335 dos.
Lembah Klang terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 103.4 peratus atau lebih 6.4 juta orang daripada populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.
Ini diikuti Labuan dengan 97.5 peratus (66,808 orang); Negeri Sembilan 88.9 peratus (724,254 orang); Sarawak 88.8 peratus (1.8 juta orang); dan Perlis 76.6 peratus (138,748).
Sabah kekal negeri paling rendah menerima suntikan vaksin iaitu 51.2 peratus (1.4 juta orang), selain Kelantan 53.2 peratus (657,520 orang).
Sementara itu, jumlah pemberian vaksin harian pada Isnin adalah sebanyak 227,147 dos membabitkan 157,912 dos pertama dan 69,235 dos kedua.