COVID-19: 71 kes baharu direkodkan, Kluster Bangau-Bangau terus catat pertambahan

Madiha Abdullah
September 24, 2020 17:11 MYT
Sabah masih mencatat kes tertinggi dengan 63 kes termasuk 10 kes dari Kluster Laut dan 47 kes dari Kluster Bangau-Bangau. - Gambar hiasan/BERNAMA
Sebanyak 71 kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini, sedikit menurun berbanding angka semalam.
Daripada jumlah itu, 69 kes merupakan kes tempatan manakala dua lagi kes adalah kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 10,576 kes.
Sabah masih mencatat kes tertinggi dengan 63 kes termasuk 10 kes dari Kluster Laut dan 47 kes dari Kluster Bangau-Bangau.
Kedah dan Selangor masing-masing mencatat empat dan tiga kes baharu.
"Daripada 69 kes penularan di dalam negara, 43 kes adalah warganegara Malaysia dan 26 kes adalah bukan warganegara.
"47 kes adalah daripada Kluster Bangau-Bangau, melibatkan 32 kes warganegara dan 15 kes bukan warganegara," katanya dalam kenyataan harian berkenaan perkembangan COVID-19.
Sementara itu, 10 kes baharu daripada Kluster Laut melibatkan kesemua bukan warganegara.
Kluster Benteng LD pula mencatat satu kes menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 730 kes.
Bagi Kluster Sungai pula, empat kes baharu dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 91 kes.
"Di Kedah pula, empat kes baharu yang direkodkan membabitkan warganegara, manakala dua kes baharu di Selangor membabitkan warganegara yang mempunyai sejarah pulang dari Semporna, Sabah.
"Sebanyak enam kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Tiada kluster baharu direkodkan dan tiada penambahan jumlah kematian, menjadikan jumlah kematian kekal 133," katanya.

Terkini. 24 Sept. Sebanyak 71 kes baharu #COVID19 hari ini iaitu 69 tempatan dan 2 import. Sabah kekal tertinggi 63 kes antaranya 10 Kluster Laut dan 47 Kluster Bangau-bangau. Kedah 4 kes dan Selangor 3 kes. Tiada kluster baharu. Jumlah kematian kekal 133 kes.

— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) September 24, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#COVID-19 #Kedah #Kementerian Kesihatan #kes harian #kluster #Kluster Bangau-Bangau #Kluster Laut #koronavirus #Malaysia #Noor Hisham Abdullah #Sabah
;