COVID-19: 70.1 peratus penduduk Sarawak lengkap divaksin

Fadilah Sulaiman
Oktober 19, 2021 14:55 MYT
Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi keseluruhannya lengkap divaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok. - Foto: BERNAMA.
KUCHING: Seramai 70.1 peratus keseluruhan populasi Sarawak telah lengkap divaksinasi setakat Ahad lalu melibatkan 90.7 populasi dewasa serta 41.3 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), usaha memperkasakan tahap imuniti di negeri itu turut giat dijalankan dengan pelaksanaan pemberian dos penggalak sejak 13 Oktober lalu.
“Golongan warga emas akan menerima dos penggalak di klinik swasta dan hospital swasta. Manakala petugas barisan hadapan kesihatan dari fasiliti kesihatan awam dan swasta di fasiliti masing-masing.
“Setakat 17 Oktober, sebanyak 11,156 dos penggalak telah diberikan di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, bagi golongan layak yang diberikan keutamaan ketika ini iaitu warga emas berusia lebih 60 tahun boleh menghubungi fasiliti kesihatan yang terlibat untuk mendapatkan janji temu dos penggalak tersebut.
“Senarai nama klinik dan hospital swasta akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa melalui saluran media massa dan media sosial untuk memudahkan proses janji temu,” katanya.
Dalam pada itu JKNS menyasarkan pemvaksinan kepada kesemua 295,174 populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini akan selesai menjelang 31 Oktober 2021.
Untuk rekod, Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi keseluruhannya lengkap divaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok.
#COVID-19 #imuniti kelompok #lengkap vaksinasi #petugas barisan hadapan
;