COVID-19: 7 kes baharu, tiada kes di Kluster Tawar
Astro Awani
Ogos 24, 2020 16:55 MYT
Ogos 24, 2020 16:55 MYT
Sebanyak tujuh kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,274 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.
Manakala, lima kes adalah penularan dalam negara adalah di Sarawak melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.
"Daripada lima kes penularan di dalam negara, dua kes adalah warganegara Malaysia dan tiga kes bukan warganegara," katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan tiada kes Kluster Tawar direkodkan hari ini.
"KKM ingin memaklumkan bahawa tiada kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Tawar pada hari ini. Namun begitu, saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan tetap diteruskan.
"Sehingga 24 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,436 orang telah disaring dalam kluster ini," katanya.
Dua kes import tersebut adalah dari negara Filipina (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan Amerika Syarikat (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).
Enam kes telah pulih COVID-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,965 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sehingga kini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.
#Amerika Syarikat
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Filipina
#Kedah
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Sarawak