COVID-19: 678 penumpang, 450 kru kapal MV Genting Dream tidak bergejala
Astro Awani
Februari 20, 2020 00:28 MYT
Februari 20, 2020 00:28 MYT
Ujian saringan kesihatan ke atas 678 penumpang dan 450 kru kapal MV Genting Dream yang berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC), Pelabuhan Klang mendapati kesemua mereka tidak menunjukkan gejala COVID-19.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah saringan itu adalah setakat jam 10 malam Khamis membabitkan penumpang dan kru yang turun dari kapal tersebut.
Tambah KKM, kapal yang membawa keseluruhan 957 penumpang dan 1,701 kru itu dijadual pulang semula ke Singapura pada jam 11 malam Khamis.
Difahamkan, penumpang kapal terbabit terdiri daripada 15 warganegara termasuk Malaysia sementara anak kapal membabitkan 32 warganegara.
Terdahulu, KKM memaklumkan mana-mana penumpang yang bergejala akan diletakkan di bawah pemantauan di atas kapal atau di pusat kuarantin BCC untuk pemeriksaan lanjut.