COVID-19: 62 lagi kes baharu dicatatkan - KKM
Raja Hisyam Raja Zaid
September 16, 2020 17:08 MYT
September 16, 2020 17:08 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 62 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan sehingga Rabu (16 September 2020).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarahnya, Tan Sri Doktor Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes jangkitan pandemik COVID-19 di negara ini ketika ini ialah 10,031 kes.
Daripada 62 kes baharu yang dicatatkan, 41 daripadanya adalah melibatkan jangkitan warganegara manakala 20 kes membabitkan bukan warganegara.
Sementara satu kes melibatkan kes import yang turut membabitkan warganegara.
Menurut kenyataan tersebut juga tiada kematian dicatatkan sehingga Rabu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini akibat pandemik berkenaan kekal sebanyak 128 (1.28%).
Dalam pada itu jumlah kes aktif ketika ini adalah 668 selain 26 kes discaj menjadikan jumlah kumulatif discaj adalah 9,235 (92.06%).
Kes yang melibatkan pesakit yang terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah berjumlah 15 manakala 3 memerlukan bantuan pernafasan.
#COVID
#ICU
#Kementerian Kesihatan
#kesihatan
#KKM
#koronavirus
#Malaysia
#Noor Hisham Abdullah
#pandemik
#unit rawatan rapi