COVID-19: 60 kes sembuh, 31 kes baharu dan tiada kematian

Hasimi Muhamad
Mei 20, 2020 16:47 MYT
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu positif COVID-19 di negara ini adalah 31 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 7,009 kes, setakat Rabu.
Bilangan kes sembuh COVID-19 melebihi kes jangkitan baharu dicatatkan apabila 60 kes pulih dan dibenarkan keluar wad diumumkan hari ini berbanding 31 kes baharu.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj di negara ini adalah 5,706 kes atau 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 31 jumlah kes baharu positif COVID-19 di negara ini menjadikan jumlah keseluruhan 7,009 kes, setakat Rabu.
“Ingin dimaklumkan daripada 31 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 21 kes adalah penularan tempatan di mana 10 kes adalah bukan warganegara Malaysia, manakala 11 melibatkan warganegara.
“Sehingga kini, terdapat 11 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tiada kematian baharu direkodkan hari ini akibat pandemik itu.
Justeru, katanya jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 114 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
#COVID19 #Dr Noor Hisham Abdullah #ICU #jumlah positif #kes baharu #koronavirus #Malaysia #Noor Hisham Abdullah #tiada kematian