COVID-19: 500 peserta Sarawak sertai ijtimak tabligh digesa tampil
Syafik Shukri Jalil
Mac 12, 2020 14:35 MYT
Mac 12, 2020 14:35 MYT
Lebih daripada 500 rakyat Sarawak yang menyertai program ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, baru-baru ini, digesa supaya tampil menghubungi hospital kerajaan dengan segera.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, berkata langkah berkenaan bagi membolehkan mereka menjalani pemeriksaan berkaitan COVID-19.
“Tolong bantu kami mengesan rakyat Sarawak yang menyertai program berkenaan. Bertenang, bagaimanapun biarkan doktor membantu anda,” katanya dalam entri terbaharu di laman Facebook rasminya pada Khamis.
Gesaan itu dibuat susulan seorang peserta dari Brunei yang menyertai program itu pada 28 Februari sehingga 1 Mac lalu, disahkan dijangkiti COVID-19.
Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia dengan penyertaan melebihi 5,000 orang.
Dr Sim berkata, sesiapa sahaja yang mengenali peserta program berkenaan diminta menyampaikan mesej berkenaan kepada mereka.
Selain Dr Sim, gesaan serupa turut dikongsi laman Facebook ‘Sarawak Disaster Information’.
“Mereka yang terlibat diminta menghubungi Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis Sarawak di talian 082-443248 atau Hospital Umum Sarawak (082-276666), Hospital Miri (085-420033), Hospital Bintulu (086-255899) dan Hospital Sibu (084-343333).,” katanya pengendali akaun Facebook berkenaan.
#COVID-19
#Datuk Dr Sim Kui Hian
#ijtimak tabligh
#Kuala Lumpur
#Sarawak
#Sarawak Disaster Information
#sri petaling