COVID-19: 428 kes kategori 3, 4 dan 5 dimasukkan ke hospital setakat 5 petang ini

Astro Awani
Februari 16, 2022 11:30 MYT
Kata Dr Noor Hisham, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1,269 kes yang baru dimasukkan ke hospital. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 428 kes COVID-19 dalam kategori 3, 4 dan 5 direkodkan sehingga jam 5 petang hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1,269 kes yang baharu dimasukkan ke hospital.
Baki selebihnya iaitu 841 kes (66.3 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 109 pesakit dan peratusan penggunaan ventilator adalah 4.05 peratus bagi pesakit COVID-19 dan 37 peratus jika termasuk kes bukan COVID-19.
Sementara itu, penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 di dua negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus, iaitu Johor (61 peratus) dan Kuala Lumpur (50 peratus).
"Meskipun kebanyakan kes semasa diuji dan baharu didiagnosa menunjukkan kategori yang rendah, sebagai contoh hari ini 99.65 peratus kes dilaporkan dalam kategori 1 dan 2 semasa diagnos, namun ada kes yang boleh merosot ke kategori yang lebih tinggi dan memerlukan kemasukan ke PKRC atau hospital pada hari berikutnya.
"Kita perlu bersama-sama menghadapi badai Omicron ini. Banyak negara di rantau kita memperlihatkan aliran menaik. Sila patuhi semua langkah kesihatan awam dan sosial untuk menghadapi Omicron.
"Dapatkan vaksin dan dos penggalak untuk melindungi diri anda dan orang yang anda sayangi," katanya.
Sebanyak 27,831 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,111,514 kes.

Sehingga 5PM 16 Februari 2022, kes COVID-19 yang baharu dimasukkan ke hospital adalah 1,269 kes. Daripada 1,269 kes ini: 428 kes (33.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 841 kes (66.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. pic.twitter.com/t7rHQAk4Wq

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) February 16, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #vaksin #Omicron