COVID-19: 36 kes positif baharu dilaporkan di Kluster Pedas

Astro Awani
Jun 3, 2020 17:48 MYT
Dr Noor Hisham berkata, kes kluster berkenaan melibatkan 14 warga Malaysia dan 242 bukan warganegara. - Gambar fail
Sejumlah 36 kes positif baharu dilaporkan di Kluster Pedas, Negeri Sembilan pada Rabu, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 256 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kluster berkenaan melibatkan 14 kes dalam kalangan warga Malaysia dan 242 kes bukan warganegara.
"Ia melibatkan 136 kes warga Nepal, 55 kes warga Bangladesh, 26 kes warga Myanmar, 21 kes warga Indonesia, 3 kes warga India dan satu kes warga Vietnam," katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.
Kes positif baharu itu dikesan hasil daripada saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin.
BACA: Kenapa masih wujud kes baharu COVID-19? Ini lima fokus utama sidang media harian KKM
"Mereka masih diasingkan di pusat kuarantin, justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, setakat ini, kes positif COVID-19 di empat Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Sepang, Bukit Jalil, Semenyih, dan Putrajaya merekodkan sejumlah 466 kes daripada 4,908 sampel yang diambil.
Manakala, 1,175 kes menunggu keputusan, dan 3,267 negatif COVID-19.
#Bukit Jalil #COVID19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Imigresen #Indonesia #kesihatan #Malaysia #Media #Negeri Sembilan #Noor Hisham Abdullah #Semenyih #Sepang
;