COVID-19: 34 kematian baharu direkod, 12 BID

Astro Awani
Februari 20, 2022 01:13 MYT
Proses pengesahan sama ada seseorang pesakit COVID-19 itu meninggal dunia akibat pandemik tersebut atau tidak, mengambil masa. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 34 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,310 orang, daripada 3.17 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 12 daripada 34 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 243,342 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 230,491 individu atau 94.7 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 5,414 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 7,199 kes dirawat di hospital dan 238 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 108 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 130 lagi memerlukan mesin ventilator.
#Kematian baharu #COVID-19 #bid #ICU