COVID-19: 3,519 kes baharu, tiada kes di PPS
Astro Awani
Disember 22, 2021 11:19 MYT
Disember 22, 2021 11:19 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 57 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,519 kes baharu COVID-19 direkodkan di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menerusi akaun Twitternya, Dr Noor Hisham memaklumkan dengan pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 2,728,203 kes.
Namun beliau memaklumkan, tiada kes dikesan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sebahagian besar daripada jumlah kes baharu melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu sebanyak 3,454 kes atau 98.2 peratus.
Selebihnya, 1.8 peratus atau bersamaan 65 kes adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5.
Manakala, kes sembuh hari ini adalah sebanyak 5,118 kes sekali gus angka kumulatif sembuh ialah 2,647,587 kes.
Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini menempatkan seramai 331 pesakit dan daripada jumlah itu, 187 kes memerlukan bantuan pernafasan.
KKM juga melaporkan 57 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kepada 31,192 orang.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, lima daripada 57 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 51,023 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 42,873 individu atau 84 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Manakala seramai 4,069 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).