COVID-19: 3,376 kes positif di Sabah, 63 peratus kes 'backlog'
Astro Awani
Ogos 24, 2021 19:13 MYT
Ogos 24, 2021 19:13 MYT
KUALA LUMPUR: 2,130 kes positif COVID-19 atau 63 peratus daripada 3,376 kes keseluruhan yang dilaporkan di Sabah pada Selasa merupakan kes daftar lewat (backlog).
Menerusi kenyataan Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, ia terbahagi kepada tiga kategori.
‘’430 kes atau 12.7 peratus adalah kes daftar lewat melebihi lima hari, 414 atau 12.3 peratus adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara empat ke lima hari.
‘’Manakala 1,286 atau 38.1 peratus merupakan kes positif yang lewat didaftar antara dua ke tiga hari,’’ katanya.
Selain itu, 2,094 kes bersamaan 62 peratus merupakan kes saringan kontak rapat, 784 kes atau 23.2 peratus dikesan menerusi saringan individu bergejala dan 164 kes atau 4.9 peratus dikesan menerusi kluster sedia ada.
‘’Hampir 65 peratus daripada mereka yang terjangkit adalah golongan yang berusia 17-59 tahun, 639 kes atau 19 peratus berusia 6-17 tahun, 296 atau 8.8 peratus berusia antara 1-5 tahun dan 227 atau 6.7 peratus berumur 60 tahun keatas,’’ tambahnya.
Tambah Masidi, pesakit kategori satu dan dua mendominasi jumlah keseluruhan kes positif hari ini dengan 3,316 kes.
Selebihnya, tujuh kes kategori tiga, satu kes kategori empat dan sepuluh kes kategori lima.
Antara lain sehingga Isnin, 53.3 peratus penduduk dewasa Sabah telah memperoleh satu dos vaksin dan 31.4 peratus sudah melengkapkan pengambilan dua dos.
#COVID-19 di Sabah
#kes backlog di Sabah
#kes saringan kontak rapat Sabah
#peratusan tertinggi COVID-19 di Sabah