COVID-19: 3.2 peratus daripada 15,902 kes baharu di bawah kategori 3, 4 dan 5 - Dr Noor Hisham
Astro Awani
Julai 24, 2021 19:17 MYT
Julai 24, 2021 19:17 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 3.2 peratus daripada 15,902 kes baharu yang dicatatkan hari ini adalah pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5.
Manakala 15,386 kes pula melibatkan pesakit daripada kategori 1 dan 2 yang bergejala ringan, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
"Daripada 15,902 kes hari ini, sebanyak 260 kes iaitu 1.6 peratus iaitu kategori 5 kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan, 129 kes iaitu 0.8 peratus bagi kategori 4 radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.
"127 kes iaitu 0.8 peratus pesakit kategori 3 yang mempunyai radang paru-paru, manakala 6,901 kes iaitu 43.4 peratus kategori 2 bergejala ringan dan 8,485 kes iaitu 53.4 peratus adalah kategori 1 tidak bergejala.
"Keseluruhannya 3.2 peratus kes dilaporkan berada pada kategori 3,4 dan 5," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebahagian pesakit kategori 1 dan 2 dimasukkan ke hospital disebabkan risiko-risiko lain.
Sementara itu mengulas lanjut, 184 kes kematian yang dicatatkan hari ini jelas Dr Noor Hisham melibatkan 87 kes di Selangor, 17 kes di Kedah, 16 kes di Pahang, 15 kes di Negeri Sembilan, 13 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 10 kes di Johor, lapan kes di Sabah, tujuh kes di Melaka, enam kes di Pulau Pinang, tiga kes di Terengganu dan dua kes di Sarawak.
Sebanyak 27 kluster baharu dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif meningkat kepada 976 kluster.
#COVID-19
#ICU
#Hospital
#gejala ringan
#Ketua Pengarah Kesihatan
#Dr Noor Hisham Abdullah
#tidak bergejala