COVID-19: 250 lagi kematian direkod, 49 BID

Astro Awani
September 24, 2021 05:22 MYT
Sejumlah 250 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkod setakat tengah malam tadi dengan 49 daripadanya kes 'brought-in-dead' (BID). -Gambar fail
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan sejumlah 250 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkod setakat tengah malam tadi.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 24,931 kes, iaitu 1.15 peratus daripada 2,166,445 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Data KKM di portal COVIDNOW memaklumkan sejumlah 49 daripada 250 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Bagaimanapun, jumlah kematian yang dilaporkan itu turut merangkumi sejumlah kes tertunggak dengan ada di antaranya kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Tunggakan kes itu berlaku kerana proses bagi mengesahkan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat wabak itu memakan masa.
Portal Github menunjukkan hanya sembilan kes kematian dilaporkan berlaku semalam, namun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang masih belum dikemas kini.
Berdasarkan purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari, trend kematian pesakit COVID-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Setakat semalam, sejumlah 59.2 peratus daripada keseluruhan populasi negara sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19, dan 69.2 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya satu dos.
Daripada 324 kes kematian yang dilaporkan semalam, 65 daripadanya adalah di Selangor, disusuli Sabah (43), Johor (41), Pulau Pinang (20), Sarawak (16), Perak (14), Kedah (6), Kelantan (14), Pahang (9), Kuala Lumpur (6), Terengganu (6), Negeri Sembilan (4), Melaka (3) dan Perlis (3).
Dua wilayah lagi tidak merekodkan sebarang kes kematian iaitu Labuan dan Putrajaya.
#COVID-19 #bid #brought-in-dead #kematian di luar hospital
;