COVID-19: 25 kes baharu dilaporkan, enam kes dari Kluster Tawar

Fareez Azman
Ogos 16, 2020 17:06 MYT
Daripada 25 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 11 warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara, kata Dr Noor Hisham Abdullah. - Gambar fail
Sebanyak 25 kes baharu COVID-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari Ahad.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu sebanyak 16 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.
"Sehingga 16 Ogos 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 25 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,200 kes.
"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 216 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Ingin dimaklumkan daripada 25 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 11 warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Manakala sembilan kes penularan dalam negara melibatkan tujuh warganegara tempatan dan dua bukan warganegara.
Enam daripadanya dari Kluster Tawar iaitu lima kes di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang. Manakala satu lagi kes membabitkan saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah.
Manakala dua kes jangkitan bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tular di laman sosial sejak semalam.
"Terdapat dua kes jangkitan dalam negara yang dikesan di kalangan bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kedua-dua kes ini adalah merupakan saringan rawak di tempat kerja oleh Pejabat Kesihatan Daerah di mana ianya telah melibatkan pekerja kedai makan.
"Telah tular di media sosial notis penutupan kedai makan tersebut dan menimbulkan sedikit keresahan di kalangan pelanggan. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan pengesanan kes secara aktif di mana siasatan lanjut dan persampelan akan diambil. Kedai makan tersebut telah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman," jelas Dr Noor Hisham.
Sehingga kini, 28 kes yang telah pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih dari COVID-19 sepenuhnya sebanyak 8,859 kes bersamaan 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala dua kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Bagaimanapun tiada pertambahan kes kematian dilaporkan sehingga Ahad menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 kekal sebanyak 125 kes bersamaan 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Hospital #jangkitan #Kementerian Kesihatan Malaysia #kes baharu #kesihatan #KKM #Kluster Tawar #positif
;