COVID-19: 246 kes positif di Sarawak, Lundu kini zon jingga

Syafik Shukri Jalil
Februari 15, 2021 18:36 MYT
Antara lain daerah Lundu kembali dikategorikan sebagai zon jingga daripada merah setelah merekodkan 31 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan pertambahan 246 kes positif COVID-19 di negeri itu pada Isnin menjadikan jumlah kes positif di negeri itu meningkat kepada 6,832 kes.
Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Sibu mencatatkan kes harian tertinggi dengan 171 kes.
Ia diikuti Kapit (22), Julau (21), Samarahan (12), Kuching (lapan), Bintulu (enam), Tatau dan Miri (dua) manakala satu kes di Dalat dan Bau.
“Daripada 171 kes di Sibu, 164 kes dikesan menerusi saringan pengesanan kes secara aktif kepada kontak kes positif COVID-19.
“Manakala tujuh kes melibatkan lain-lain saringan COVID-19 yang hadir ke fasiliti kesihatan di daerah itu,” kata Uggah.
Selain itu, 16 kluster dilaporkan kekal aktif dengan hanya empat kluster mencatat pertambahan kes.
Ia termasuk Kluster Nanga Lijan di Julau dengan 21 kes, Kluster Pasai di Sibu 13 kes dan satu kes masing-masing dari Kluster Tabong di Bau dan Kluster Rakut di Miri.
Antara lain daerah Lundu kembali dikategorikan sebagai zon jingga daripada merah setelah merekodkan 31 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.
“10 daerah termasuk Julau, Subis, Kapit dan Song kekal dikategorikan sebagai zon merah dengan 2,003 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.
“Tiga daerah pula berstatus jingga dan 15 kekal berstatus kuning dengan 132 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh sama,” tambahnya.
Sehingga kini, terdapat 12 daerah yang dikategorikan sebagai zon hijau di Sarawak termasuk Daro, Kabong dan Lubok Antu.
#kes COVID-19 di Sarawak #COVID-19 di Sarawak #kes tertinggi di Sarawak #kes harian di Sibu #kluster aktif di Sarawak #Kluster Pasai di Sibu #zon merah di Sarawak #zon jingga di Sarawak #JPBN Sarawak
;