COVID-19: 243 penafian berita palsu, 249 kertas siasatan dibuka
Hasimi Muhamad
April 30, 2020 14:40 MYT
April 30, 2020 14:40 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 249 kertas siasatan mengenai penyebaran berita palsu COVID-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, antara lain sebanyak 169 kes masih dalam siasatan, manakala 26 kes telah didakwa di mahkamah dengan 15 orang mengaku bersalah.
"Selain itu, Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga membuat sebanyak 243 penafian berita palsu sejak ia mula beroperasi pada 24 Mac lalu.
"PRP ini ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19.
"Salurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.