COVID-19: 23 kematian baharu direkod, empat BID

Astro Awani
Januari 9, 2022 05:41 MYT
Setakat tengah malam tadi, terdapat sebanyak 3,416 kes COVID-19 yang dirawat di hospital dan 248 pesakit ICU. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 23 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,678 orang, daripada 2.78 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, empat daripada 23 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 39,927 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 32,743 individu atau 82 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 3,520 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 3,416 kes dirawat di hospital dan 248 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 131 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 117 lagi memerlukan mesin ventilator.
#bid #kes positif #Kematian baharu #PKRC #ICU