COVID-19: 229 kes positif baharu, angka tertinggi di Sarawak setakat ini
Syafik Shukri Jalil
Januari 22, 2021 17:57 MYT
Januari 22, 2021 17:57 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan pertambahan 229 kes positif COVID-19 pada Jumaat yang juga menjadi angka kes harian tertinggi di negeri ini sehingga kini.
Menerusi sidang media pada Jumaat, Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata Sibu terus mencatat pertambahan tertinggi dengan 168 kes diikuti Miri (28), Kuching (sembilan), Subis (dua) Bintulu (satu) dan masing-masing tujuh kes di Kanowit, Sri Aman dan Lubok Antu.
Menurutnya , Kluster Pasai melaporkan pertambahan kes positif tertinggi dengan merekodkan 112 kes.
“Jumlah keseluruhan kes kluster ini terus meningkat kepada 1,094 kes.
“Sejumlah 10,250 individu telah disaring dengan 7,500 disahkan negatif dan 1,656 masih menunggu keputusan ujian makmal,” kata Uggah.
Selain itu, dua kes kematian turut dilaporkan di Miri dan Sibu, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di negeri ini meningkat kepada 24 kes.
“Kes kematian ke-23 merupakan kes 2,775 dilaporkan meninggal dunia pada 21 Januari 2021 dan dilapor mempunyai kes ko-morbid lain seperti kencing manis, darah tinggi dan dislipdemia.
“Manakala kes kematian ke-24 merupakan kes 2,182 daripada Kluster Pasai disahkan meninggal dunia pada 22 Januari 2021 dan juga mempunyai ko-morbid seperti kencing manis, darah tinggi dan juga asma,” tambah Uggah.
Selain itu, 141 kes pulih baharu dan discaj dilaporkan melibatkan 68 kes dari Hospital Sibu, Hospital Miri (45), Hospital Umum Sarawak (23) dan Hospital Bintulu (lima).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,469 kes atau 50.12 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.
#COVID-19 di Sarawak
#kes kematian di Sarawak
#kluster aktif di Sarawak
#Kluster Pasai di Sibu
#kes pulih di Sarawak
#JPBN Sarawak
#Douglas Uggah Embas