COVID-19: 223 kes baharu, tiada kematian dicatat
Astro Awani
Mac 11, 2023 07:20 MYT
Mac 11, 2023 07:20 MYT
KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara pada Sabtu turun kepda 223 kes berbanding 251 kes yang dilaporkan pada hari sebelumnya.
Berdasarkan kepada portal KKMNOW, tiga daripada jangkitan itu merupakan kes import.
Untuk semalam, tiada kematian direkodkan berkaitan COVID-19 dan ia adalah perkembangan tiga hari berturut-turut tanpa korban sejak Khamis.
Sementara itu, 9,380 kes aktif dilaporkan pada Sabtu dan daripada jumlah itu, 9,077 kes atau 96.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Keadaan kekal di mana tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 298 pesakit sedang mendapat rawatan di hospital.
Daripada jumlah itu, lima pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan empat pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Negara turut merekodkan 193 kes pesakit sembuh daripada jangkitan COVID-19.