COVID-19: 22 tentera, keluarga dikuarantin di Sabah
Qaisara Umaiyah
April 12, 2020 10:40 MYT
April 12, 2020 10:40 MYT
Tiada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah yang disahkan positif setakat ini.
Bagaimanapun, 22 anggota ATM termasuk ahli keluarga, sedang menjalani kuarantin 14 hari kerana disyaki terdedah dengan jangkitan COVID-19.
Daripada jumlah itu, enam kes dikategorikan sebagai pesakit bawah siasatan (PUI) manakala 16 kes lagi membabitkan pesakit bawah pemantauan (PUS).
Perkara itu disahkan Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
"Mereka ini sedang menjalani kuarantin dan sebahagiannya sudah menjalani ujian calitan (swab) dan keputusannya negatif.
"Kesemua mereka akan menjalani swab sekali lagi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan terjamin," katanya kepada media selepas membuat lawatan ke stesen Sekatan Jalan Raya (SJR) Batu 6 Sepagaya, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor.
Muhammad Hafizuddeain turut menasihatkan semua petugas mengutamakan keselamatan kesihatan serta menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.
"Langkah itu penting kerana negara tidak mahu kehilangan anggota barisan hadapan dalam menentang wabak COVID-19," tambahnya.
Beliau turut memuji tahap pematuhan masyarakat tehadap perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menurutnya mencapai 97 peratus di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
Menurut Muhammad Hafizuddeain, PKP tidak hanya tertumpu pada SJR tetapi meliputi kawalan di semua kawasan kampung, taman perumahan dan lain-lain.
"Kekal di rumah, hadkan pergerakan untuk tujuan tidak penting, jaga penjarakan sosial, jaga kebersihan dan elakkan perhimpunan.
"Dengan melakukan langkah pencegahan, kita semua akan berjaya memutuskan rantaian COVID-19," katanya.
Dalam sesi lawatan itu, Muhammad Hafizuddeain turut meluangkan masa bertemu anggota ATM di Dewan Tun Mustapha yang menjadi ruang inap tentera untuk penugasan PKP.
Beliau hadir bagi membuat pemantauan penugasan anggota ATM dalam membantu Polis Diraja Malaysia menguatkuasakan PKP mengikut Akta Polis 1967 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
#Angkatan Tentera Malaysia
#keselamatan
#koronavirus
#Lahad Datu
#Muhammad Hafizuddeain Jantan
#operasi
#perhimpunan
#polis
#Polis Diraja Malaysia
#PUI
#PUS
#rumah
#siasatan
#tentera