COVID-19: 22 pekerja asing 'hilang' dari asrama berjaya dikesan - Polis

Abd Razak Mohd Ali
Mac 2, 2021 14:06 MYT
Asmadi (gambar) berkata, hari ini kesemua pekerja berkenaan akan dipindahkan ke PKRC MAEPS di Serdang. - Gambar fail
IPOH: Seramai 22 daripada 23 pekerja warga asing yang dilaporkan hilang ketika pemeriksaan COVID-19 di sebuah asrama di sini semalam, berjaya dijejaki polis.
Mereka ditemui malam tadi dan terus dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz menjelaskan, pekerja berkenaan sebenarnya bukan melarikan diri, sebaliknya tidak dapat dihubungi, kerana tinggal di alamat lain.
"Hari ini (2 Mac) kesemua mereka akan dipindahkan ke PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang," katanya dalam satu kenyataan.
A Asmadi berkata, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi pekerja, seorang warga Bangladesh.
"Kemungkinan pekerja ini juga berada di alamat lain. Usaha mengesannya sedang dalam tindakan," ujarnya.
Semalam, media melaporkan polis sedang mengesan 23 pekerja asing di kilang pakaian antarabangsa Emerald Garments yang tidak berada di asrama ketika penutupan kilang dibuat ekoran penularan COVID-19.
Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan ke atas asrama pekerja kilang itu di Flat Anjung Tawas Damai, Tasek, dekat sini.
PKPD dikenakan berkuat kuasa semalam berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 susulan saringan yang dilakukan bermula 23 Feb lalu.
Semalam, A. Asmadi berkata, daripada 439 penghuni flat lima tingkat yang dijadikan asrama pekerja kilang itu, 377 penghuni termasuk 43 rakyat tempatan disahkan positif COVID-19 manakala 23 lagi gagal dikesan.
#KKM #COVID-19 #PKPD #perintah kawalan pergerakan #PKRC #warga asing #polis #Ipoh #Bangladesh #pekerja asing #hilang #A Asmadi Abdul Aziz #asrama pekerja #Tanjung Rambutan #Maeps #kilang pakaian #Emerald Garments #Flat Anjung Tawas Damai
;