COVID-19: 210 alat bantuan pernafasan bakal diagih ke hospital Sabah - Dr Noor Hisham
Afiezy Azaman
September 22, 2020 06:10 MYT
September 22, 2020 06:10 MYT
Sebanyak 210 unit peralatan bantuan pernafasan (ventilator) buatan Jerman akan diagihkan mengikut keperluan perkhidmatan hospital di negeri Sabah.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini bagi memenuhi keperluan tambahan alat tersebut di negeri itu.
"Sekiranya masih tidak mencukupi, maka penempatan semula ventilator dari Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Semenanjung akan dilakukan dengan segera.
"Sebanyak 29 unit ventilator tambahan sudah disediakan untuk agihan sekiranya perlu," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata kelengkapan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah selamat diterima Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
"KKM ingin menzahirkan jutaan terima kasih kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membantu dalam proses penghantaran," ujarnya.
Terdahulu, Noor Hisham dalam sidang media berkata, KKM bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kes penularan COVID-19 di Sabah.
Katanya, antara langkah diambil adalah penyediaan katil tambahan di hospital dan mempersiapkan beberapa lokasi sebagai pusat kuarantin.
Setakat ini Sabah mempunyai enam kluster yang dikesan namun dalam keadaan terkawal.
Kebimbangan mengenai tahap keselamatan juga meningkat apabila negeri itu menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 26 September melihatkan lebih 1.2 juta pengundi.