COVID-19: 21 kes positif, cetus kluster majlis hari keluarga di Sabah

Harits Asyraf Hasnan
Januari 17, 2021 12:08 MYT
Penularan pandemik COVID-19 dalam acara melibatkan keluarga tidak boleh dinafikan lagi, tegas Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Gambar hiasan / Unsplash.com
KUALA LUMPUR: Penularan virus COVID-19 semasa majlis hari keluarga.
Itu fakta yang tidak boleh dinafikan berkait Kluster Taman Ikan Jinak yang kini menjangkiti 21 individu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, majlis yang berlangsung di Kota Belud, Sabah itu turut dikesan di daerah Tuaran.
"Kluster berkaitan majlis hari keluarga ini melibatkan daerah Tuaran dan Kota Belud di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-138,292) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 12 Januari 2021 hasil saringan indvidu bergejala.
"Nama kluster merujuk kepada lokaliti majlis berkenaan yang telah diadakan di Taman Ikan Jinak Melangkap Tiong, Kota Belud.
"Sehingga 17 Januari 2021, sejumlah 46 individu telah disaring, di mana 21 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini," memetik kenyataan media beliau pada Ahad.
KKM sebelum ini telah mengesan beberapa kluster melibatkan acara yang melibatkan perhimpunan ramai, termasuk dalam kalangan ahli keluarga seperti majlis berinai, perkahwinan dan pelbagai lagi.
BACA: COVID-19: 3,339 jangkitan baharu, kes aktif kini hampiri 38,000
#Dr Noor Hisham Abdullah #kes positif #COVID-19 #virus #perhimpunan #KKM #Noor Hisham Abdullah #perkahwinan #keluarga #hari keluarga #jangkitan COVID semasa majlis