COVID-19: 20 sekolah di P. Pinang, 6 di N. Sembilan ditutup dua hari

Bernama
April 26, 2021 22:45 MYT
Sebanyak 20 buah sekolah di Pulau Pinang dan enam di Negeri Sembilan ditutup dua hari bermula hari ini susulan terdapat kes COVID-19. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Sebanyak 20 buah sekolah di Pulau Pinang ditutup dua hari bermula hari ini susulan terdapat kes COVID-19 di sekolah terlibat, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad.
Beliau berkata penutupan itu melibatkan sekolah menengah dan rendah namun enggan memperincikannya.
"Semua sekolah terlibat ditutup selama dua hari bagi proses sanitasi. Pihak sekolah akan menilai semula sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat (membuka atau meneruskan penutupan sekolah).
"Bagi sekolah yang ditutup, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan mengikut jadual persekolahan seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Di SEREMBAN, enam buah sekolah di Negeri Sembilan ditutup dua hari bermula esok hingga Rabu ini berikutan enam warganya disahkan positif COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata Pejabat Kesihatan Daerah meminta Pejabat Pendidikan Daerah menutup sekolah berkenaan bagi membolehkan membuat penilaian risiko, pengesanan kontak rapat serta menjalankan proses disinfeksi di sekolah berkenaan.
Katanya dua daripada sekolah yang terletak di daerah Seremban dan Tampin berkenaan adalah sekolah menengah (SMK) manakala empat lagi sekolah kebangsaan (SK).
"Sekolah yang terlibat adalah SMK Puteri, SMK Mambau, SK King George V (KGV), SK Desa Cempaka, SK Methodist (ACS) dan SK Gemas," katanya dalam kenyataaan di sini, hari ini.
Jelasnya, penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan,nasihat dan penilaian risiko oleh PKD yang berkaitan.
-- BERNAMA
#COVID-19 #pendidikan #sekolah #penutupan sekolah #pulau pinang #Negeri Sembilan #sekolah ditutup
;