COVID-19: 2,969 kes positif di Sabah, hanya 16 kes menerima rawatan di hospital
Astro Awani
Februari 10, 2022 17:24 MYT
Februari 10, 2022 17:24 MYT
KUALA LUMPUR: Sabah hari ini melaporkan penambahan 2,969 kes positif COVID-19 dengan hanya 16 kes yang dilaporkan menerima rawatan di hospital.
Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, kes yang dilaporkan hari ini juga menyaksikan sedikit penyusutan sebanyak 364 berbanding kes yang dilaporkan pada Rabu.
‘’Sejumlah 2,953 atau 99.46 peratus daripada 2,969 kes hari ini adalah dalam kategori satu dan dua.
‘’Terdapat lapan kes dalam kategori tiga, enam kes dalam kategori empat dan dua kes dalam kategori lima.
Ini bermakna hanya 16 kes memerlukan rawatan di hospital dan juga merupakan bukti nyata keberkesanan pengambilan vaksin,’’ katanya.
Tambahnya, kes yang bergejala mencatatkan angka yang tinggi dengan 1,673 kes atau 56.35 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilaporkan pada Khamis.
Kes-kes ini juga merupakan penyumbang utama kepada peningkatan angka kes positif di beberapa daerah di negeri itu antaranya Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Tuaran, Papar, Tawau, Lahad Datu dan Ranau.
‘’Peratusan kes bergejala yang tinggi bermakna COVID-19 sudah bertapak dalam komuniti di daerah-daerah berkenaan dan jangkitan secara sporadik menjadi punca jangkitan utama.
‘’Adalah dinasihatkan agar mereka yang tinggal di kawasan-kawasan berkenaan mengurangkan perjalanan ke tempat-tempat sesak dan mematuhi semua SOP sepanjang masa. Risiko jangkitan di tempat- tempat awam yang sesak adalah sangat tinggi,’’ tambahnya.
Selain itu, empat kluster baharu dilaporkan melibatkan tiga kluster institusi pendidikan dan satu kluster tempat kerja.
Tiga kluster baharu melibatkan institusi pendidikan adalah Kluster Jalan Getah dan Kluster Madai di Kunak serta Kluster Jalan Gudon di Kota Kinabalu.
Sementara satu kluster tempat kerja (tapak pembinaan) melibatkan Kluster Sutera 2 di Kota Kinabalu.